Di dalam minda saya pada suatu waktu dahulu, saya pernah terfikir bahawa saya ini tidak pandai membuat kek atau biskut. Ini dikuatkan lagi dengan perumpamaan keras tangan dan apabila membuat biskut atau kek, pasti tak menjadi.
Akan tetapi, apabila difikirkan kembali, membuat kek atau biskut merupakan satu kemahiran yang boleh dikuasai asalkan kita mempunyai pengetahuan, pemahaman dan mempraktikkan ilmu yang kita fahamkan itu. Maka, kita dapat tafsirkan kemahiran itu ialah satu pendidikan di dalam latihan. Jadi dimana harus saya mulakan?
Semestinya saya kena membaca resepi dan teknik-teknik membuat kek atau biskut. Maka bermulalah episod menjelajah segala laman sesawang yang berkaitan. Pemahaman saya ditingkatkan lagi dengan mengambil satu resepi yang sama tetapi dicuba oleh beberapa orang dan mengambil kira komen mereka yang telah mencuba sebagai analisis. Resepi yang tersebut nanti, saya akan jadikan ia sebagai satu autoriti dan precedent untuk percubaan amali saya. Nampak macam hendak membuat satu tesis pula.
Jadi apabila saya telah bersedia dan yakin, saya akan membuat resepi tersebut berulang kali bagi memperbaiki teknik membuat sehingga kek atau biskut tersebut menjadi yang sepatutnya!
Gambar diatas adalah contoh muffin coklat, di antara resepi yang menjadi dan oven inilah yang berjasa dalam latihan amali saya. Maka nampaknya keras tangan saya kini telah berubah dengan hasil kerja keras saya kerana saya percaya kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya! Tidak dapat disangkalkan sama sekali...


No comments:
Post a Comment