Thursday, 21 March 2013

Coffee chat - Serlahkan Pesona Wanitamu


Adakah beg tangan LV, kasut Jimmy Choo, busana Hajaba, barangan kemas Habib Jewel atau solekan menggunakan set Bobbi Brown mampu menyerlahkan pesona wanitamu?

Inilah adalah sebahagian daripada fesyen dan trend yang hanya untuk sementara dan akan berlalu ditelan zaman. Ia tidak akan menyerlahkan pesona wanitamu untuk selamanya. Pesona seseorang wanita terletak pada diri wanita itu sendiri yang dipanggil IDENTITI!

Sesungguhnya dalam membentuk identiti seorang wanita, syarat utama pastinya menutup aurat dengan sempurna. Walaupun dunia kini disogok dengan fesyen moden, namun tanyalah pada diri, apakah yang dituntut oleh agama ke atas kamu.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka..." Surah an-Nur, ayat 31

Seorang wanita itu juga mestilah berilmu dan berakhlak kerana kedua-dua ciri ini akan meletakkan seorang wanita itu di martabat yang tinggi serta dihormati.

Bukanlah kekayaan yang dicari mahupun kecantikan yang dikagumi. Cukuplah jika seorang wanita itu tidak miskin. Cantik merupakan perkara subjektif daripada kaca mata seseorang. Oleh itu, kecantikan seorang wanita itu lahir daripada rasa syukur di atas rupa yang telah dikurniakan, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai dalaman (innerself)  yang sentiasa positif.

Maka, pesona wanitamu akan terserlah sampai bila-bila kerana kamu telah membentuk identitimu yang bersandarkan pada dirimu sendiri dan yang pastinya IDENTITI itu tidak akan luput ditelan zaman!

No comments:

Post a Comment